BAB 22
Mangkuk yang berisi asam pedas ikan pari yang masih berasap itu diletakkan Afira Hanim dengan penuh cermat diatas meja makan. Begitu juga dengan ayam masak kicap, sayur campur dan udang goreng mentega. Tangannya turut ligat mengatur pinggan dan gelas di atasnya. Alfira tersenyum puas bila melihat semua hidangan sudah sedia terhidang. Langkahnya di atur ke ruang tamu rumah.
“Makanan dah sedia. Jom kita makan..” Pelawa Alfira pada tiga beranak yang sedang rancak berbual. Datin Faridah dan Datuk Ir. Suffian yang baru saja tiba sepuluh minit lalu tersenyum kearah menantu mereka sambil menganggukkan kepala.
“Kalau mama dengan papa rasa masakan Fira ni mesti jatuh hati punyalah. Sedap tau!” Amir Firdaus memuji. Wajah isterinya itu dipandang, namun Alfira menundukkan kepala, mungkin malu dipuji sedemikian rupa. Tangan Amir Firdaus yang memeluk bahunya dibiarkan saja walaupun dia kurang selesa. Dia tahu, Amir cuma berlakon dihadapan ibu bapanya sekarang.
Datin faridah dan Datuk Ir. Suffian mengambil tempat duduk berhadapan dengan Alfira manakala Amir Firdaus duduk disebelah isterinya itu. Alfira Hanim mencedokkan nasi ke dalam pinggan mereka berempat. Memasak bukanlah tugas sukar baginya kerana sejak dari umur awal belasan tahun lagi dia sudah di ajar memahirkan diri dengan ilmu dapur. Sebab itu dia tidak pernah kekok ketika berada didapur.
“Ehm…baupun dah rasa sedap ni..mesti rasa lagi sedap kan?” Datuk Ir. Suffian memuji. Datin Faridah disebelahnya turut mengiakan. Alfira hanim yang mendengar sekadar tersenyum. Sebenarnya, dia malu dipuji begitu sedangkan dia bukanlah tukang masak yang hebat. Kira lepaslah setakat hendak kenyangkan perut!
“Rasa dulu papa, mama. Fira ni macam macam tahu masak. Mir hari-hari makan dekat rumah lepas dah kahwin ni. Dah tak layan dah nasi kedai tau..” Amir Firdaus mencedokkan asam pedas ikan pari kedalam pinggan kedua orang tuanya. Begitu juga ke dalam pinggan Alfira. Sejak dari mula mereka bercinta, dia memang gemarkan masakan gadis itu. Masa mereka masih belajar dulu, Alfira selalu saja memberinya makanan yang dimasak dirinya.
“Hmm..memang sedap.Patutla anak papa ni dah berisi sikit lepas kahwin. Suka hati rupanya ada isteri pandai masak, jaga makan minum..hati pun bahagia kan?” Datuk Ir. Suffian berseloroh. Dia gembira melihat kemesraan yang tejalin antara anak dan menantunya. Semoga mereka sentiasa dalam kebahagiaan selalu, itulah doa yang selalu dipohonnya. Tak ada seorang bapapun yang mahukan anaknya hidup menderita. Dia berharap sangat kata-kata orang tentang hubungan sulit antara Amir dan Zarina hanya gossip semata mata.
“Asyik Mir je yang makin berisi, Fira bila nak berisi?” Amir Firdaus ketawa mendengar soalan mamanya. Terasa lucu pula bila dia cuba membayangkan jika Alfira Hanim dalam versi gemuk. Entah bagaimanalah rupa isterinya itu? Namun, baginya, dalam apa jua keadaan, Alfira tetap kelihatan cantik.
“Ala mama..Mir dah suka badan Fira macam ni. Buat apa nak berisi lagi. Dah Ok apa macam sekarang. Tak kurus sangat, tak gemuk sangat..maintain aje..”
“Hisy kamu ni. Maksud mama, berisi lain la”
Amir Firdaus yang mendengarkan soalan mamanya mengerutkan dahinya tanda kurang faham. Ditolehnya Alfira hanim disebelah mengharapkan penjelasan namun gadis itu lansung tidak memandang kearahnya. Alfira hanya menundukkan kepalanya. Fira ni, dah hilang suara ke apa, tahu senyum, tunduk kepala..dah tak tahu bercakap ke? Amir Firdaus membebel didalam hati.
“Berisi apa lagi mama? Mir tak faham la..” Amir Firdaus mengaru kepalanya yang tidak gatal. Dia bukanlah jenis orang yang faham jenis cakap tersirat tersirat ni.
“Isy, Mir ni. Itupun tak faham. Maksud mama, mengandung..bila Mir dengan Fira nak bagi mama dengan papa cucu..” Alfira Hanim yang sedang meneguk air terus tersedak dengan soalan mamanya itu. Amir Firdaus cepat cepat mengurut belakang isterinya.
“Sayang minum macam mana ni sampai tersedak…” Amir Firdaus berkata lembut. Diusapnya lagi belakang Alfira. Wajah merah isterinya ditatap penuh prihatin.
“Sakit lagi tak?” Soal Amir lagi.
Alfira sekadar menggelengkan kepala. Yang sebenarnya dia terkejut dengan persoalan tak terjangka dari Datin Faridah. Mereka baru saja nak masuk 3 bulan kahwin sudah ditanya pasal anak? Macam mana kalau sudah setahun kahwin? Pasti naik bernananah telinganya nanti bila soal anak yang diulang ulangkan. Kalaualah mereka semua faham perasaannya kala ini…
“Diaorang ni dalam honeymoon lagi Idah..biarlah mereka berduaan dulu..” Datuk Ir Suffian menjawab pertanyaan isterinya itu bila melihat Alfira seperti kehilangan kata. Terkejut agaknya. Dia faham jiwa anak muda zaman sekarang. Mungkin anak dan menantunya itu inginkan lebih masa berdua sebelum menerima kehadiran orang baru dalam rumah tangga mereka.
“Jangan nak merancang sangat Mir, Fira. Anak ni pembawa rezeki. Sementara Fira masih muda ni, eloklah mengandung awal. Nanti dah berusia sikit, badan pun tak kuat sangat..Nak mengandung pun susah.” Nasihat datin Faridah. Amir dan Alfira sekadar mengangguk. Itu saja yang mampu mereka buat.
“Fira dah ada tanda tanda mengandung tak?” Soal datin Faridah tiba-tiba. Alfira menelan liur. Mama ni dah tak ada soalan lain ke nak tanya? Asyik pasal anak je..hati Alfira sedikit mengeluh.
Wajahnya sudah terasa panas bila ditanya soalan sebegitu. Macam manalah nak ada tanda mengandung mama, Kami tak pernah bersama pun! Kalau boleh, ayat yang terdetik dihatinya itulah yang hendak dikatakan dihadapan Datin Faridah tapi dia tak mampu membuka mulut. Belum tiba masanya lagi untuk mama tahu. Alfira Hanim sekadar menggelengkan kepala sebagai jawapan.
“Belum ada rezeki lagi mama..lagipun baru nak masuk 3 bulan kami kahwin.Awal lagi..” Amir Firdaus menambah. Janganlah mama dan papa tahu yang dia lansung tak pernah menyentuh isterinya. Boleh pecah telinganya nanti kena leter dengan mama. Setahun pun belum tentu habis leteran berjela jelanya itu. Amir Firdaus tak sanggup membayangkannya lagi. Cukuplah telinganya dulu dah rasa separuh pekak dileteri Datin Faridah semasa nak batalkan perkahwinan dengan Alfira. Dia tak sanggup nak merasainya sekali lagi.
“Hmm..yelah tu. Nak tunggu umur berapa baru nak ada anak. Korang berdua pun bukan muda lagi. Dah 26 tahun. Tak payah nak merancang sangat..”
Amir Firdaus dan Alfira memandang sesama sendiri sebelum sama sama menundukkan kepala. Mereka hanya mampu mendengar. Tak ada kuasa nak membantah kata-kata Datin Faridah. Memang mama tak bersalah bercakap begitu. Semua mak ayah nakkan cucu dari anak mereka tapi dalam kes mereka sekarang, perkara tu takkan mungkin terjadi! Alfira jadi simpati dengan harapan Datin Faridah dan yang mahukan cucu darinya dan Amir. Fira bukan orangnya mama, Insya-Allah, Zarina boleh berikan cucu untuk mama nanti…..hati kecil Alfira berbisik.
**********************
Takut! Tipulah kalau dalam dadanya sekarang tak ada perasaan takut sedikitpun. Malah rasa seram, risau, resah semuanya ada bila duduk berduaan begini. Alfira Hanim masih lagi duduk di balkoni bilik. Angin malam yang lembut menyapa tubuhnya terasa begitu dingin. Pelukan pada tubuhnya diperkemaskan lagi. Walaupun hari ini bukanlah kali pertama mereka tinggl sebilik, namun perasaan gentar itu selalu saja ada. Sudah banyak kali Amir Firdaus mengambil kesempatan ke atas dirinya. Lelaki itu memang tak boleh dipercayai!
Apapun berlaku, dia akan pertahan kan haknya. Dia tak mahu membiarkan perasaanya dipermainkan lagi. Cukuplah luka lama yang masih belum sembuh. Alfira Hanim menghelakan nafas, cuba mengutip semangat untuk berhadapan denagn suaminya sebentar lagi. Kakinya melangkah masuk kedalam kamar Amir Firdaus yang bersaiz sederhana besar itu. Datin Faridah sudah lama dibuai lena didalam kamar sebelah.
Toto yang dibawanya dari biliknya petang tadi dihamparkan diatas lantai. Dia nampak Amir Firdaus sedang melihat setiap perbuatannya itu tetapi dia berlagak selamba. Dia takkan tidur sekatil dengan suaminya. Biarlah banyak manapun ugutan dari amir Firdaus selepas ini dia sudah tak peduli. Cukuplah dia menipu semua orang dengan kebahagiaan yang direka reka. Dia tak mahu tunduk lagi pada ugutan suaminya itu.
“Tidur atas katil ni. Buat apa nak tidur bawah?” Amir Firdaus yang dari tadi menjadi pemerhati mula menegur perbuatan isterinya. Walaupun hatinya masih marah dengan tindakan Alfira sebelum ini, dia tak sampai hati melihat gadis itu tidur beralaskan toto nipis di atas lantai sedangkan dia tidur di atas katil empuk ini.
“ Takpe..saya selesa macam ni..” Selepas menuturkan ayat itu, Alfira terus merebahkan tubuhnya di atas toto. Mujurlah mama ada disini Cuma dua malam. Dia tak sanggup berlama lama begini di bilik lelaki itu walaupun mereka sudahpun berkahwin. Perasaannya jadi lain macam. Dia jadi takut.
Amir Firdaus bingkas bangun dari baringannya. Tubuh isterinya yang dibaluti T-shirt kuning cair dan seluar tidur berwarna kelabu itu dihampiri. Tanpa disuruh, dia turut merebahkan badannya disisi Alfira. Alfira Hanim yang terkejut dengan tindakan Amir Firdaus itu bingkas bangun. Matanya tajam merenung Amir Firdaus yang pura-pura memejamkan mata. Namun dia perasan bibir lelaki itu tersenyum sedikit. Mengada betul!
“Apa ni tidur dekat tempat saya..pergi tidur atas la..” Alfira menolak tubuh Amir Firdaus. Walaupun tubuh sasa itu lansung tak bergerak bila ditolaknya, dia tetap juga menolak. Nak tampar atau pukul nampak biadab pula. Bibirnya diketap tanda geram. Amir ni memang jenis muka tembok gamaknya! Tak tahu malu. Sudahlah suka menuduh dan memarahinya sesuka hati, sekarang penyakit ulat bulunya dah datang lagi! Menyampah betul!
Amir Firdaus yang mendengarkan omelan Alfira pantas membuka matanya. Wajah isterinya dengan mulut yang dimuncungkan itu tampak kelakar pada penglihatannya. Dia ketawa kecil.
“ Pilih. Nak tidur atas ke nak tidur bawah? Abang tak kisah. Janji tidur sama sama..”
Alfira Hanim membulatkan matanya. Gila ke apa mamat ni? Nak kena hantuk dekat dinding kot baru hilang tahap kesengalan kepala otak tu! Alfira mendengus marah.
“Mati hidup balikpun saya taknaklah tidur dengan abang! Pergi tidur atas la..ni tempat tidur saya” Alfira hanim menolak bahu Amir Firdaus menjauhinya.
Amir Firdaus terus bangun bercekak pinggang. Wajah Alfira dengan rambut yang sedikit menutupi dahinya itu dipandang.
“ Memangla taknak tidur dengan abang sebab dah berangan nak tidur dengan doktor tu nanti kan?” Memang dia terasa dengan kata-kata Alfira tadi. Niatnya Cuma mahu berbaik baik semula dengan isterinya itu. Sudah kerap benar mereka bergaduh, dia dah terlalu penat! Salahkah dia hendak berbaik? Bukannya nak mengambil kesempatan pada Alfira walaupun ada kalanya dia turut tergoda denagn kecantikan isterinya itu.
Mendengarkan ayat Amir Firdaus,Alfira Hanim terus mengucap panjang. Ya Allah, kenapalah perangai Amir tak pernah nak ubah ubah? Selalu saja menuduhnya perkara yang bukan bukan? Dia sendiri tak pernah nak menuduh hal buruk tentang Amir dan Zarina walaupun dia rasa lagi berhak mempersoalkan tentang hubungan mereka berdua! Duhai hati, bersabarlah…..bisik Alfira didalam hati.
“Abang nak mengarut, mengarutla sorang sorang..saya nak tidur! “ Pantas comforternya ditarik menutupi tubuh dan wajahnya. Dia malas nak bergaduh dengan Amir Firdaus tengah tengah malam buta ni. Tambah-tambah lagi bila Datin Faridah sedang tidur dibilik sebelah. Nanti apa pula kata mamanya bila mendengar mereka bergaduh pada waktu begini. Alfira hanim cuba menyabarkan hatinya.
Amir Firdaus yang melihatkan gelagat Alfira rasa sakit hati. Isterinya itu lansung tak membalas kata-katanya tadi. Betul la Alfira memang sudah merancang untuk hidup bersama dengan Isyraf rayyan. Gadis itu lansung tak menafikan apa-apa. Dia mengepalkan tangannya. Cuba memindahkan rasa geram disitu bila membayangkan wajah kacak doktor muda itu. Kalau Alfira kata dia curang, Alfira pun sama! Semudah itu mendapatkan pegantinya. Baginya perbuatan Alfira jauh lebih teruk kerana tak pernah berterus terang. Sekurang kurangnya dia tak pernah menipu Alfira tentang perasaanya pada Zarina.
Amir Firdaus terus menuju kekatilnya. Memang Alfira dah makin melampau sekarang! Hatinya memeberontak geram.
********************
Sampul surat berwarna coklat dihulurkannya pada lelaki berkaca mata hitam itu. Segaris senyuman sinis terlukir di bibir mungilnya.
“Aku nak kau buat benda lebih teruk dari apa kita buat sebelum ni..” Zarina menjeling lelaki yang duduk di sebelah pemandu didalam keretanya. Kereta di parkir sedikit jauh dari lalauan orang ramai. Pertemuan sulit begini, dia tak mahu ada orang yang nampak kelibat mereka disitu.
“Maksud Cik Rina? Saya tak faham..” Lelaki disebelahnya mengerutkan dahi.
“Aku akan bayar kau lebih dari sekarang. Aku nak dia lebih tersiksa” Zarina mengetapkan bibirnya. Bencinya pada Alfira Hanim makin meluap sekarang. Gadis itu harus dihapuskan! Dia tak boleh menunggu lagi walaupun hanya beberapa bulan saja lagi. Amir Firdaus memang tak boleh dipercayai!
“Habis tu, macam mana dengan Pak Karyo? Cik taknak jumpa dia dah ke?”
“Aku tak cakap yang aku nak berhenti buat cara lama pun Zack! Aku Cuma nak kau buat cara yang lebih berkesan dari ni. Aku tak boleh tunggu lagi. Makin aku tunggu, Amir akan makin jauh dari aku” tangan Zarina menumbuk permukaan stereng kereta. Dia takut rancangannya musnah kalau Amir kembali semula pada Alfira. Tak boleh! Dia mesti cepat bertindak.
“Cik nak saya bunuh perempuan tu ke?” Soal Zakri sedikit cemas. Perempuan seperti Zarina bukan boleh diagak apa yang tersemat didalam otaknya. Segalanaya boleh berlaku. Walaupun baru lagi bekerja dengan gadis itu, dia tahu Zarina memang licik orangnya.
“Memang aku nak dia mati. Tapi kita tak perlu terburu buru..aku ada plan lain. Nanti aku contact kau balik. Duit ni kau bagi dekat Pak Karyo. Suruh dia buat kerja dia. Aku dah call dia kelmarin. Dia tahu apa dia kena buat. Kau boleh keluar sekarang!” Kata Zarina tegas.
“Baik Cik! “ pintu kereta segera dibuka Zack. Sambil memandang ke kiri dan kanan, lelaki itu terus melangkah pergi. Zarina yang memerhati dari dalam kereta tersenyum puas. Aku Zarina lah! Tak ada siapa yang boleh kalahkan aku! Zarina ketawa kuat.
Bersambung...
P/S: Quick update untuk korang yang sabar menunggu =). Saya nak ucapkan terima kasih sangat sebab selalu ikut novel KCI ni.Tak lupa jugak untuk silent readers, mereka-mereka yang datang menjenguk. Mungkin ada yang suka, ada yang tak suka pada novel ni tapi saya tetap hargai. Citarasa orang lain2 kan? Saya masih lagi berusaha menjadi penulis yang baik. Saya tak ada pendorong setia, tak ada pengomen untuk karya2 saya melainkan korang2 aje =( Andai banyak yang terkurang dan tak memenuhi selera korang, maafkan saya.Saya cuba mengumpul semangat untuk siapkan jugak novel KCI ni walaupun sejak beberapa hari ni saya rasa sedih sangat. Betul kata orang, nak jadi penulis kena kuat semangat dan cekal dengan bermacam kritikan. Kalau saya lambat update lepas ni maafkanlah saya....=( ( Ikhlas dari= Fatin Farehah)